MALAM itu tepat jam sembilan, saya sudah siap sedia atas di jeti. Sebelum itu, sempat juga saya mengisi perut di warung Haji Dollah.
Dua bungkus nasi lemak bersama segelas besar kopi ‘O’ buatan isteri Haji Dollah yang saya panggil Kak Rahimah cukup untuk mengenyangkan perut saya.
Selepas makan itulah saya turun ke jeti bersama-sama Halim, Imran dan Hamdan.
Kali ini saya membawa misi khas. Isteri Imran, Suraya yang baru mengandung dua bulan mengidam mahu makan udang galah Sungai Geliga.
Puas Imran berulang-alik ke pasar berdekatan untuk membeli udang galah idaman isteri tersayang namun hampa.
Sekarang, memang bukan musim udang galah di Sungai Geliga. Kalau adapun tidak dijual secara terbuka atau hanya dijadikan hidangan keluarga oleh pemancing yang menangkapnya secara ‘suka-suka’.
Hamdan sudah mendapatkan perahu yang sederhana besarnya daripada bapa saudaranya. Malam itu sedikit berangin.
Awan tebal bertompok gelap melindungi cahaya bulan yang berbentuk bulan sabit. Kalau diikutkan musim, sekarang bukan musim udang galah bermaharajalela di Sungai Geliga.
Air sungai agak keruh kerana saban petang atau pagi, hujan akan turun walaupun tidak berapa lebat.
Kami berempat mendayung sampan dalam keadaan senyap tanpa berbual. Hanya asap rokok berkepul keluar sebagai satu cara untuk menghalau nyamuk dan unggas di permukaan air.
Sampai di tepi pokok berembang yang rendang, yang mana sebahagian dahannya terjuntai ke dalam air, saya mengangkat tangan memberi isyarat agar kami berhenti di situ. Halim mengikat tali sampan pada dahan pokok yang terjuntai.
Manakala saya, Imran dan Hamdan memeriksa mata kail dan umpan yang dibawa.
Entah mengapa, malam itu saya rasakan suasana agak sepi. Kebiasaannya kami berempat rancak berbual namun pada malam itu semuanya bagaikan mati kutu.
Masing-masing seperti membawa haluan sendiri. Sebaik sahaja mata kail dicampakkan ke dalam air, saya seperti terdengar suara orang berjalan di tebing sungai.
Bunyi kayu mati yang dipijak jelas kedengaran sehingga saya dan Halim saling berpandangan sambil memberikan isyarat mata.
Imran pula sudah menyuluh di tebing sungai namun tiada apa-apa sebarang objek yang kelihatan.
Saya percaya tiga orang rakan saya ini turut mendengar bunyi kayu mati yang dipijak tadi tapi semuanya mengambil pendekatan ‘membisu’ kerana percaya inilah cubaan yang selalu
menimpa pemancing yang memancing udang di Sungai Geliga yang memang terkenal dengan kisah-kisah mistiknya.
Namun kami tidak pedulikannya, tambahan pula selepas itu, udang galah sederhana besar seberat dalam 50 gram berjaya dinaikkan.
Imran kemudian hampir melonjak kegembiraan apabila umpannya mengena seekor udang galah besar seberat 250 gram dan getuan begitu rancak berlaku selepas itu, tambahan pula, kami semuanya berjaya menaikkan udang bersaiz sepit biru.
Selain udang galah, kami juga berjaya menaikkan baung dan patin yang saiznya agak besar dan ‘menyelerakan’.
Namun, di sebalik rasa gembira itu, terselit juga rasa hairan dan cuak di hati saya. Bukan apa, selain udang galah yang besar dengan kepaknya yang membiru itu, timbul satu persoalan yang bermain di minda saya.
Walaupun bulan malam itu tidak bercahaya, saya seperti ternampak beribu kunang-kunang seperti bermain berhampiran sampan kami.
Ini menjadikan tempat kami memancing itu sangat terang dan indah hingga sedikit pun saya tidak berasa mengantuk walaupun jam sudah menghampiri empat pagi.
“Hari dah subuh. Jomlah kita balik. Murah rezeki kita malam ini. Alhamdulillah,” ucap saya apabila melihat di dada langit sudah memancar cahaya ufuk subuh yang indah warnanya.
Sesekali saya terlihat seperti ada kilat memancar di celah-celah awan tebal yang masih lagi melindungi bulan yang berbentuk sabit.
Imran membuka tali yang diikat pada dahan ara tadi. Saya dan Halim mengambil tugas mendayung sampan. Namun saya terasa ada sedikit keanehan.
Tanpa mendayung pun, sampan saya seolah-olah meluncur laju menuju ke jeti yang terletak hampir 30 minit perjalanan dengan mendayung.
Akhirnya, saya dan Halim mengambil kata sepakat. Kami meletakkan kayu pendayung di atas sampan sambil duduk diam memerhatikan pergerakan sampan yang ‘laju’ dipandu oleh satu kuasa luar biasa yang ada di bawah sampan kami.
Kepada Imran dan Hamdan, saya hanya memberikan isyarat mata agar mereka juga duduk diam tanpa bersuara.
Tidak sampai sepuluh minit, kami tiba di jeti dengan selamat!.
Ketika itulah, dalam jarak hampir lima meter, saya melihat seekor buaya putih sebesar kereta timbul di permukaan air dalam tiga saat.
Saya hanya mampu beristighfar dan mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kami berempat selamat daripada sebarang musibah.
Melalui Imran, akhirnya saya tahu bahawa Suraya rupanya berketurunan Pak Kiai Haji Ahmad yang terkenal dengan kebolehannya menjinakkan buaya ganas di Sungai Geliga satu ketika dahulu.
Mungkin kerana itulah maka kami berempat ‘berpesta’ udang galah walaupun bukan pada musimnya!.
Perjalanan bermula dengan menaiki motosikal dan bersambung dengan berjalan kaki di tepi jeram sungai mendaki bukit untuk sampai ke lubuk tersebut. Pada jam 2 petang mereka tiba di Lubuk Kolam dan agak memenatkan, mereka pun merehatkan diri di tepi jeram sungai sambil menyiapkan kelengkapan untuk memancing tengas.
“Letak je dah lekat ikan tengas,” kata Mat pada Bob dengan senyum melebar. Memang lapar betul ikan tengas di sini. Mat dan Bob asyik menaikkan ikan tengas yang boleh tahan saiznya.
Tidak lama kemudian ikan semakin kurang menyambar umpan. Bob mula naik mencari port yang lebih sesuai lebih tinggi dari port yang dipancing oleh Mat. Biarlah Mat seorang diri terus melayan di lubuk tersebut.
Tidak sampai setengah jam, Mat melihat Bob berlari bergegas turun dari celah-celah batu sungai menuju ke arah Mat. Sebaik sahaja sampai di tepi Mat, Bob menepuk bahu Mat sambil bersuara cemas.
“Mat… jom blah!”
Dengan tiba-tiba, selepas ditepuk oleh Bob, Mat melihat keadaan sekeliling menjadi gelap gelita, mereka memang terkelu melihat keadaan sekeliling, mereka merasakan keadaan baru jam 4 atau 5 petang, tetapi jam di tangan menunjukkan pukul 10 malam.
Keadaan yang gelap di hutan tebal, yang tidak ada kampung yang berhampiran. Mereka pula tidak membawa sebarang lampu, dengan hanya pemetik api rokok yang dijadikan lampu untuk menyuluh mereka pulang ke bawah. Dalam serba kepayahan dan mendebarkan mereka berjaya juga keluar dari kawasan tersebut.
Sehingga ke hari ini, Bob dan Mat masih mengatakan mereka baru sahaja tiba di Lubuk Lakom, tetapi hari sudah gelap dengan tiba-tiba. Memang sukar untuk diterima oleh akal. Mujur tak disesatkan atau hilang begitu saja.
Pelik dan unik! Begitulah nama-nama ikan yang terdapat di negara kita ni. Memang banyak terdapat nama ikan yang pelik tapi kita bagi 10 contoh dahulu.
TEBAL PIPI
Nama saintifik: Pomadasys kaakan
Nama global: Barred javelin
Nama tempatan: Tebal pipi
Ikan ini yang biasanya mendiami kawasan muara juga mendapat namanya mungkin kerana sifat luarannya. Jika dilihat pada bahagian kepalanya, operkulum atau pipi penutup insangnya jelas lebih menonjol dan lebih tebal, jadi mungkin dari itu munculnya panggilan ikan tebal pipi pada spesies ini.
IKAN BIJI DURIAN
Nama saintifik: Sphaerichthys asphronemoides
Nama global: Chocolate gourami
Nama tempatan: Biji durian
Ikan biji durian agak kabur juga asal namanya yang unik ini. Spesies dari keluarga gouramy dari aspek bentuknya sukar dipadankan dengan namanya. Mungkin juga nama biji durian lekat pada spesies ini kerana saiznya yang kecil dan warna coklatnya yang seakan warna biji durian.
BAUNG ASKAR
Nama saintifik: Bagarius bagarius
Nama global: Dwarf goonch, devil catfish
Nama tempatan: Kenerak, baung askar
Ikan kenerak juga dikenali sebagai ikan baung askar bagi sesetengah tempat. Nama baung askar merujuk kepada warna atau corak pada badannya yang berwarna samaran hijau seakan-akan warna yang sinonim dengan uniform askar.
IKAN PATUNG
Nama saintifik: Pristolepis fasciatus
Nama global: Malaysian leaffish
Nama tempatan: Ikan patung, kepar
Ikan patung atau ikan kepar merupakan spesies seakan-akan puyu. Ikan patung mungkin diberi nama kerana kebolehan ikan ini statik dalam air seakan-akan patung. Selain itu, nama Kampung Sungai Kepar di Perak juga mengikut asal-usulnya mengatakan diambil nama sempena ikan kepar.
IKAN PARANG
Nama saintifik: Macrochirichtys macrochirus
Nama global: Long pectoral-fin minnow
Nama tempatan: Ikan parang, parang-parang, cabuk
Ikan parang mempunyai bentuk badan yang lebih panjang dan berwarna perak. Bentuk badannya ini seolah-olah sebilah parang yang tajam dan berkilat memungkinkan spesies ini digelar ikan parang.
IKAN SETAN
Nama saintifik: Lepidocybium flavobrunneum
Nama global: Escolar
Nama tempatan: Ikan setan, eskolar
Ikan escolar atau juga digelar ikan setan di sesetengah tempat merupakan ikan air masin. Spesies ini digelar ikan setan oleh sesetengah kaki pancing kerana warna badannya kehitaman ditambah matanya yang cukup menggerunkan. Mendiami perairan dalam dan kawasan terumbu karang di Sabah dan Sarawak.
IKAN SEBELAH
Nama saintifik: Pseudorhombus spp
Nama global: Flounders
Nama tempatan: Sisa nabi, ikan sebelah
Spesies ini unik bukan pada namanya sahaja tetapi juga bentuk badannya. Jika dilihat pada bentuk badannya, tidak sukar mengagak kenapa ikan ini digelar ikan sebelah. Ikan yang nipis ini kelihatan seolah-olah mempunyai separuh atau sebelah saja badannya.
IKAN TEBAL SISIK
Nama saintifik: Puntius binotatus
Nama global: Spotted barb
Nama tempatan: Tebal sisik
Nama ikan tebal sisik juga cukup unik jika difikirkan. Ikan dari genus Puntius ini merupakan ikan bersisik dan berwarna perak berkilau. Tidak mustahil nama tebal sisik diambil sempena sifat sisiknya yang tebal.
IKAN KEKEK
Nama saintifik: Leiognathus fasciatus
Nama global: Ponyfish, slipmouth
Nama tempatan: Ikan kekek
Asal datangnya nama ikan kekek ini kurang jelas. Malah maksud kekek itu sendiri pun kurang jelas sama ada loghat atau mempunyai maksud sebenar. Namun, namanya tetap unik dan cukup popular kerana nama ikan kekek ini ada dalam salah satu lirik lagu rakyat.
IKAN UJI RASHID
Nama saintifik: Selar boops
Nama global: Oxeye scad
Nama tempatan: Ikan lolong, ikan Uji Rashid
Nama ikan ini pun begitu unik sehingga mendapat gelaran nama Uji Rashid iaitu penyanyi dan pelakon. Kisahnya ialah kerana Uji Rashid mempunyai mata yang besar ketika zaman popularnya. Dek kerana itu, dia juga digelar ikan lolong yang juga mempunyai mata besar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...