Dari 11 sub-spesies ikan yang dikenali sebagai filefish, ikan ayam laut biru adalah yang paling cantik. Berbadan leper melebar, berkemampuan memberi tantangan kepada pemancing. Malah ia dikuatkan dengan ekor melebar separa bulat berpangkal tegap pasti mengegarkan hujung joran.
Ciri-ciri utama yang mudah kita mengenali ikan ayam laut ialah badan leper, mulut kecil, bergigi kapak kecil tajam, kulitnya kesat tanpa sisik seperti kulit ikan yu. Sesetengah tempat ia dipanggil leatherjacket yang memberi makna ikan berkulit liat.
Namun kulitnya tidak keras seperti ikan jebong atau triggerfish. Satu lagi ciri utama ayam laut ialah sirip dorsal utama hanya ditumbuhi satu duri tajam keras seperti sengat ikan duri.
Ads
Bezanya duri keras ini hanya satu sahaja dan terpacak di bahagian atas badan atau hampir dengan bebola mata. Kulit ikan yang unik ini dicipta untuk melindungi isinya yang lembut dan putih jernih. Saiz dewasa ikan ayam laut ini menjangkau sekaki lebih.
Ikan ayam laut ini biasanya ditemui bersama-sama Sargassum iaitu sejenis hidupan laut algae kelabu mudah terpisah pada rumpun utama dan hanyut di laut lepas. Ikan ayam laut dikatakan gemar mengikuti pergerakan rumpunan hidupan laut ini bebas di lautan lepas bagi memudahkan ia mencari sumber buruan dan perlindungan.
Ads
Sargassum atau rumpai laut ini boleh dikatakan sebagai perumah sementara kepada ikan kurang menjadi buruan kaki pancing. Walaupun ia boleh menghuni lautan dan laut, untuk memancingnya pula, pemancing boleh mencuba di kawasan yang memiliki bunga karang.
Tidak semua ayam laut menghuni lautan lepas dan ada juga gemar mendiami kawasan subtropika yang kaya dengan dasar berkarang untuk dijadikan tempat perlindungan dan pembiakan.
Ads
Melalui pengamatan saya, di Semenanjung ikan ayam laut pernah terpikat pada mata pancing di Pulau Jarak di Perak dan Pulau Aur di Johor. Kedua-dua kawasan pancing ini adalah berstruktur batu karang tebal dan memiliki rumpai laut di sekitarnya.
Tapi uniknya ikan ayam laut sering dilihat timbul di permukaan mencari makanan. Ia kadang kala boleh dilihat sekitar unjam bersama-sama kumpulan ikan telinga gajah berlawi panjang iaitu sub-spesies telinga gajah yang amat jarang tertarik dengan umpan pemancing.
(sumber: Pok Muds)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Yu pari terkenal sebagai salah satu ikan yang memberi tentangan dari bawah ke atas, tegak dan melintang kepada pemancing. Ia mampu memberi kepuasan dan serta keletihan kepada pemancing ketika melayannya tidak kiralah pancingan di atas bot mahupun pancingan pantai.
Yu pari mempunyai tulang-tulang lembut seperti seperti pari dan nilainya baik di pasaran. Selain sirip dagingnya lembut seperti mana pari menjadikan ia paling sedap untuk dinikmati. Permintaan tinggi di setengah-tengah kawasan pendaratan ikan dan harganya lebih tinggi jika dibandingkan dengan harga pari ataupun ikan yu.
Yu pari memiliki bentuk badan memanjang dengan sebahagian dari badannya berbentuk seperti pesawat udara. Bahagian kepala tirus mendatar (segitiga) dan memiliki tulang-tulang kecil yang timbul di bahagian tengah kepala yang keras.
Sirip dorsal pertama kiri satu pertiga panjang dari panjang badan, sebagaimana yang terdapat pada sirip yu. Saiz badan satu pretiga dari lebar kepala yang leper. Ekornya mirip ikan yu pasir kecuali sirip dorsal pertama dan kedua lebih rendah dari yu.
Kulit badan berwarna coklat cerah dan mempunyai tompok-tompok hitam (blackspot). Mulutnya dilengkapi dengan gigi-gigi kecil dan halus. Kedudukan mulut di bawah badan hampir sama dengan jarak muncung dengan mata di atas. Muncungnya pula terdiri dari tulang lembut yang di selaputi kulit liat hingga ke pangkal kepala.
Yu pari merupakan spesis yang gemar mendiami kawasan berpasir, berlumpur selut dan kawasan dasar yang rata mendatar. Tidak pelik jika anda terpancing spesies ini di kawasan karang maupun berbatu kerana sifat haiwan air ini yang sentiasa meronda di kawasan berkenaan untuk memburu mangsa terutama pada waktu malam.
Pada siang hari ia banyak menghabiskan masa lepak di kawasan dasar yang rata sambil menanamkan separuh badan di dasar menunggu jika ada mangsa yang sudi menyerah jiwa raga di depan mata. Yu pari tidak tergolong dalam spesies merbahaya di dalam air dan sering menjauhkan diri dari manusia. Begitu pun pemancing perlu berhati-hati dengan ikan pari berhubung yu ini apabila mengendalikan ia di lantai bot.
Badannya liat sepertimana yu dan bahagian ekor mampu melibas ketika ia menggelupur. Serangan ke atas kaki dan tangan pemancing biasa terjadi kepada pemancing yang kurang arif mengenai kemampuan seekor ikan tanpa air di lantai bot.
Seperti yang kita tahu, hampir kesemua spesies ikan trevally memang cukup terkenal dengan abiliti daya pertarungan yang kuat dan tidak mengalah menjadikan spesies-spesies ini antara yang terbaik untuk carta ikan pancingan sukan.
Ikan Cupak mudah dikenali berdasarkan matanya yang bulat besar dan bersinar pada malam hari apabila terkena pancaran cahaya. Bentuk ikan cupak seakan jemuduk di mana ia lebih slim memanjang dari gerepoh yang lebih lebar badannya.
Nama Inggeris dikenali sebagai bigeyes trevally, dusky jack merujuk kepada bebola mata yang besar. Memiliki ekor bercabang dan sisik yang keras serta tajam di pangkal ekor.
Bertukar dari putih semasa hidup menjadi kehitaman apabila mati. Dagingnya juga lebih gelap berbanding jemuduk.
Sirip dorsal kedua lebih pendek dari gerepoh. Tompok kehitaman sudah wujud sejak ia kecil terutama berdekatan pangkal kepala. Boleh membesar sehingga melebihi 80cm dan berat purata yang biasa dipancing ialah 1kg hingga 5kg.
Mampu mencapai berat lebih dari 10kg dan biasanya ia bergerak secara berkumpulan yang besar dalam saiz yang sama.
Ini saya rumuskan kerana dua tempat yang berlainan satu geng pancing hanya dapat cupak purata 1kg manakala kumpulan saya purata cupak 5kg. Ia jarang ditemui bercampur bersama spesimen kecil dan besar.
Tabiat berkumpulan adalah satu strategi mengelakan serangan pemangsa dan mudah mengepung mangsa.
Selain gerepoh atau biasa disebut GT, cupak menjadi salah satu spesies buruan bagi kaki casting dan jigging. Taburan nya agak meluas dari Lautan Hindi hingga Utara Australia.
Di perairan tempatan ia boleh ditemui serata di kebanyakan tempat namun lebih tertumpu di pulau semenanjung dan Sabah.
Kumpulan ikan cupak lebih tertumpu di kawasan berkarang atau coral reef dan lebih gemar mendiami kawasan tukun terutama tukun kapal yang besar.
Waktu siang ia berlegar di sekeliling kapal atau di dalam kapal dan akan keluar meronda pada malam hari di kawasan yang lebih terbuka.
Begitupun tabiat memburu mangsa tidak tertumpu di malam hari sahaja, waktu siang ia lebih gemar berada di tepian pulau dan batu karang samada bersembunyi dari pemangsa besar mahupun menerkam mangsa di sekitar tepi pulau atau karang yang cetek.
Namun begitu ia akan lepak di satu-satu kawasan dalam temoh tertentu dan jarang mendiami kawasan yang sama. Faktor utama tabiat ini ialah cupak akan bergerak mengikut pergerakan sumber dietnya iaitu ikan-ikan pelagik.
Diet utama cupak ialah anak ikan pelagik dan hidupan krutesia seperti ketam kecil, sotong, udang dan hidupan dasar yang biasa di temui di kawasan karang.
Petanda yang mudah mengesan cupak ialah sifat semulajadinya yang gemar bermain dan memburu mangsa di kawasan bercahaya. Bot yang memiliki cahaya yang terang mempunyai potensi besar menarik perhatian si cupak menghampiri bot.
Masa inilah ia akan mula aktif menangkap dan mengejar anak-anak ikan terbang di permukaan air. Tanda yang jelas ia bunyi ‘bedebum’ di sekitar kawasan bercahaya.
Ada masanya ia berada di sekitar kawasan cahaya tersebut tetapi tidak menghambur ke permukaan.
Faktor cahaya bulan juga perlu diambil kira di mana ramai berpendapat sekiranya bulan terang ia lebih tertumpu di bawah air dan bulan gelap ia akan timbul di atas dan permukaan air.
Ikan ceramin-ceramin (Sabah) atau ebek bukanlah satu nama spesies ikan yang janggal bagi pemancing di Malaysia.
Tergolong dalam kalangan keluarga Carangidae, ikan ebek atau nama sebenarnya, Alectis indica merupakan ikan jack yang mampu membesar sehingga saiz yang cukup besar, atau lebih sinonim dengan terma kaki pancing iaitu saiz mega.
Ikan ebek merupakan sejenis spesies ikan marin yang mudah ditemui di perairan tropika seperti Lautan Pasifik yang melangkaui Afrika Timur ke India, Asia, Indonesia, Australia dan juga Malaysia.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidaklah sesukar mana, bermula dari kawasan muara hingga ke lautan lepas.
Mungkin disebabkan itu, ebek atau nama lainnya, diamond trevally menjadi antara spesies yang sering menjadi buruan pemancing di Malaysia.
Malah kekuatan pertarungan di hujung kail juga cukup untuk memberikan kepuasan pancingan kerana ebek cukup agresif sebaik sahaja kail tercangkuk kemas di mulutnya.
Walaupun mampu membesar sehingga keberatan 25kg dan panjang sehingga 1.6 meter, kebiasaan spesies ebek yang dipancing di perairan Malaysia bersaiz lebih kecil.
Ebek yang berat sekitar 6-7 kg sudah dianggap saiz yang besar jika dinaikkan menggunakan joran dan kekili.
Sinonim
Ebek atau diamond trevally merupakan salah satu daripada tiga spesies ikan jack daripada genus Alectis di mana kumpulan ikan ini datang daripada 33 genera dalam keluarga Carangidae.
Carangidae pula merupakan ikan jenis perciformes dalam suborder yang digelar Percoidae.
Spesies ini asalnya diterangkan secara saintifik oleh pengkaji naturalis Jerman iaitu Eduard Rüppell pada tahun 1830 di bawah nama binomial Scyris indicus, hasil spesimen yang dikumpul dari Laut Merah.
Selepas penamaan Ruppell itu, beberapa orang pengkaji lain tanpa disedari telah menerangkan semula spesies ini, dengan nama-nama seperti Hynnis insanus
(Valenciennes, 1862), Caranx gallus (Klunzinger, 1879) dan Hynnis momsa (Herre, 1927), yang merujuk kepada spesies yang sama.
Selang beberapa tahun, pengelasan asal Ruppell juga telah disemak semula; di mana asalnya spesies ini diletakkan dalam genera Seriolichthys, dan akhirnya diletakkan dalam genus Alectis oleh James Douglas Ogilby pada tahun 1913.
Lantas, nama spesies ini telah ditetapkan sebagai Alectis indicus dalam cetakan sains. Bagaimanapun genus Alectis adalah genus feminin, dengan itu indica merupakan ejaan spesies yang betul.
Taburan Spesies Dan Habitat
Secara saintifiknya, taburan spesies ebek tertumpu di kawasan tropika seperti Lautan Hindi dan Barat Lautan Pasifik merangkumi Madagascar, Afrika Timur, Laut Merah hingga ke India, China, Asia Tenggara, utara Jepun hingga ke selatan Indonesia serta utara Australia.
Selalunya, ikan ebek akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20meter hingga 100meter sebagai habitatnya.
Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus laut. Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara.
Morfologi
Dari segi morfologi luaran ikan ebek, spesies ini mempunyai bentuk kebiasaan pada spesies ikan jack. Badan ikan ebek mempunyai bentuk yang bersudut yang agak menonjol selain daripada badan nipis mampat yang kuat.
Pengenalan utama bagi spesies ebek boleh diperhatikan pada bahagian kepalanya yang mempunyai bentuk sedikit cekung berhampiran matanya yang membezakannya antara saudara terdekat dalam genus Alectis.
Dengan sedikit imaginasi, pemancing dapat melihat bentuk bersudut ikan ini seakan-akan sebutir berlian apatah lagi ditambah dengan warna perak berkilat pada badannya yang memukau apabila disimbah cahaya matahari.
Sirip dorsal ikan ebek menunjukkan bentuk yang melengkung ke belakang dan bentuk sudut yang jelas bentuk badannya dapat dilihat pada unjuran antara sirip dorsal lembut dan sirip anal lembut yang menggariskan bentuk badannya ke bahagian ekor.
Bagi sirip pektoral pula, spesies ebek mempunyai sirip pektoral yang panjang dan melengkung sehingga ke garisan lengkung lateral.
Badannya kelihatan seolah-olah tidak bersisik, namun jika diperhatikan lebih dekat, dapat diperhatikan kehadiran sisik-sisik kecil dan halus yang tertanam pada badannya.
Garisan lateral pada badannya jelas menonjol dan melengkung pada bahagian anterior dan kehadiran sisik kasar scutes antara 6-11 scutes juga kelihatan pada bahagian kaudal pedunkel.
Bagi ebek juvenil, sirip anal dan dorsalnya seakan filamen yang lebih panjang berbanding ebek dewasa.
Bagi ebek dewasa, warna badannya ialah perak terang dan menyilaukan hingga ke warna perak biru kehijauan, sering kali warna bahagian kepala lebih gelap dan beransur perak apabila semakin ke bawah.
Bahagian operculum atas ebek mempunyai tompok hitam kecil. Warna sirip berfilamen lembut ebek pula biasanya berwarna biru atau hitam.
Biologi Dan Diet
Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin alam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasia sebagai mangsanya seterusnya menjadikan senarai tersebut sebagai diet pemakanan utama.
Bagi kitaran persenyawaan pula, tidak banyak diketahui berkaitan ikan ebek. Namun pemerhatian sebuah kajian di Indonesia mendapati persenyawaan spesies Alectis indica
berlaku di kawasan beting yang berkedalaman antara 35-45meter berhampiran kawasan berkepulauan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...